MINI John Cooper Works GP (JCW GP) merupakan model MINI paling laju pernah dibina. Ia dibangunkan dengan prestasi yang tinggi untuk kegunaan di litar lumba. Menariknya, model itu halal didaftarkan untuk kegunaan jalan awam. Lebih istimewa lagi, hanya 2,000 unit yang ditawarkan kepada pasaran.
Namun begitu, pembeli yang berminat belum boleh memilikinya memandangkan model itu masih lagi dalam proses pembangunan. MINI JCW GP masih lagi dalam peringkat ujian. Paling mengujakan dalam sesi ujian di litar Nurburgring, model itu telah mencatat rekod kelajuan dengan masa 8 minit 23 saat.
Catatan masa itu adalah 19 saat lebih pantas berbanding model sebelumnya iaitu MINI Cooper S dengan kit John Cooper Works GP. Catatan itu sekali gus mencipta rekod baharu. Walaupun tempoh saat itu tidaklah besar mana, tetapi dalam dunia perlumbaan ia sudah memadai untuk menjuarai perlumbaan.
Jika diperhatikan dalam perlumbaan Formula 1 (F1), perbezaan antara pemenang tempat pertama, kedua dan ketiga hanyalah beberapa saat sahaja.
Untuk sesebuah pasukan 'mencuri' sedikit saat itu, mereka perlu berbelanja besar dan menghabiskan banyak masa untuk melakukan penambahbaikan terhadap kereta lumba. Itu pun belum tentu berjaya kerana lazimnya sesebuah pasukan memerlukan tiga musim sebelum menaiki podium.
Apa yang membuatkan MINI JCW GP luar biasa berbanding MINI Cooper kebanyakan? Jawapannya ialah pada pakej enjin, casis serta kit aerodinamik yang semuanya diinspirasikan daripada sukan pemotoran.
Enjinnya menggunakan turbo twin-scroll yang mampu menjana kuasa tork kuat dan bergerak seperti enjin yang dahagakan arahan kuasa daripada pemandu. Suspensi yang digunakan pula adalah jenis perlumbaan boleh laras. Ia dibangunkan khas bagi menterjemahkan kuasa output enjin ke atas jalan tar dengan pengendalian meyakinkan.
Bukan sahaja enjin dan suspensi, malah penampilan luarannya juga perlu 'gempak' serta seiring dengan kuasa yang ditawarkannya. Kit badan yang digunakan bukan sekadar untuk tujuan astetik, tetapi berfungsi dalam keadaan pemanduan yang ekstrem.
Komponen itu terdiri daripada apron hadapan dan belakang besar, kit sisi dan spoiler bumbung yang menyerlah. Peresap belakang pula mengoptimumkan laluan angin di bahagian bawah kereta.
Ruang dalaman kereta pula pasti membuatkan penumpang berasa sedih kerana kerusi belakangnya telah dibuang terus bagi menyerlahkan lagi imej perlumbaan. Justifikasinya ialah dalam perlumbaan, apa yang penting hanyalah pemandu dan juru pandu arah.
Tag GP yang digunakan pada model itu pula menjadi lambang model edisi sport dan tanda bahawa model itu berprestasi tinggi. Konfigurasi casis, sistem brek, grip pada tayar perlumbaan 'diasuh' di litar perlumbaan Nurburgring.
Sebagaimana yang diketahui ramai, litar perlumbaan Nurburgring merupakan litar paling mencabar di dunia. Jadi tidak hairanlah MINI JCW GP mencatatkan masa yang cemerlang di litar itu.
Ingin saya kongsi juga bahawa model MINI Cooper S dengan kit JCW GP sebelum ini telah menjadi collector's item di United Kingdom (UK). Model penggantinya pula mengikut jejak langkah model terdahulu dan hadir dengan pakej yang lebih ekstrem.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan