CERITA TERHANGAT!!! ---> TERBAIK!!!

Terhangat ..

Rabu, 7 Mac 2012

Volkswagen Polo GTI


KENDERAAN kompak menjadi pilihan masyarakat ibu kota sebagai pengangkutan harian kerana mudah dikendalikan dengan saiz kecil dan jimat minyak.

Walaupun pelbagai model dan jenama bagi kenderaan kategori itu di pasaran negara ini, jentera buatan Jerman iaitu Volkswagen Polo GTI tampil karakter berbeza dan lebih premium.



Ia adalah ‘jelmaan’ kenderaan versi berprestasi dengan logo GTI pada bahagian belakang untuk membezakan dengan Polo TSI yang diperkenalkan sebelum ini.

Lebih membanggakan, model menjadi idaman segelintir anak muda tempatan kerana memberi kuasa dari segi pecutan dan pengendalian yang mengujakan.



Kuasa pecutan yang dihamburkan seperti ‘peluru’ kerana ia mampu mencatatkan 6.9 saat bagi kelajuan antara titik pegun hingga 100 kilometer sejam (km/j).

Jentera ini amat bersesuaian bagi pemanduan yang agresif seperti kenderaan perlumbaan.

Kuasa yang disalurkan daripada enjin 1.4 liter TSI dengan bantuan pengecas turbo serta ‘supercharge’ itu juga memberikan karakter tersendiri sekali gus membuatkan tanggapan penulis berubah padanya.

Enjin berkapasiti kecil ini dengan bantuan sistem transmisi automatik ‘Direct Shift Gearbox’ (DSG) tujuh kelajuan tidak terbantut dalam penyaluran prestasinya kerana mampu menghamburkan hingga 177 kuasa kuda dengan kelajuan maksimum 229km/j.

Penggunaan minyak adalah lebih menjimatkan dan Polo GTI mampu mencatat penggunaan 5.9 liter bagi setiap 100 kilometer. 

Pemanduannya juga memberi impak yang terbaik apabila ia mampu memberi kestabilan ketika di selekoh terutama dengan sistem suspensinya sedikit keras.

Kuasa dan spesifikasi pada model ini pasti memuaskan bakal pemiliknya kerana tindak balas pedal minyak yang pantas selain sistem brek dipadankan cukup memberi cengkaman untuk memberhentikannya.

Jika mahu lebih kuasa, penulis hanya menukar mod ‘S’ pada tombol gear sekali gus memberi perwatakan yang berbeza pada enjin untuk lebih agresif.

Bahagian luaran kelihatan ringkas tetapi tampak sporty apabila dipadankan dengan jeriji sarang lebah dan rim aloi bersaiz besar untuk lebih tegap.

Model pandu uji ini didatangkan dengan dua pintu dengan bumbung matahari membuatkannya lebih unik terutama bagi golongan muda yang mahukan kenderaan sporty.

Angkup brek juga yang dicat merah di sebalik rim aloi dengan padanan lampu utama pula dihias dengan LED yang bertindak selaku lampu siang. 

Sebaik saja membuka pintu, ruang kabin berwarna gelap memberi impak dan bersesuaian bagi ‘jiwa muda’ selain dipadankan dengan tempat duduk ala ‘bucket’.

Papan pemuka juga tampak ringkas dan kemas di mana bahagian tengah dilengkapi sistem audio yang mudah di operasi dan menggunakan lampu merah sebagai latarnya. 

Sterengnya rata pada bahagian bawah selain dibalut kulit bersama jahitan benang merah membuatkan ia lebih sporty dan menarik.

Walaupun tampak kecil, ruang tempat duduk belakang ternyata memberi keselesaan dengan tempat kaki yang luas untuk penumpang dewasa.

Jentera ini turut diiktiraf lima bintang keselamatannya apabila dilengkapi beg udara, Sistem Kunci Antibrek (ABS) dan Program Kestabilan Elektronik (ESP).


SPESIFIKASI

VOLKSWAGEN POLO GTI

ENJIN
Bersesaran 1.4 liter dengan bantuan suntikan terus dengan pengecas berkembar. 

KUASA MAKSIMUM
177 hp pada 6,200rpm 

TORK MAKSIMUM 
250Nm antara 2,000 hingga 4,500 rpm 

TRANSMISI 
Automatik tujuh kelajuan DSG 

CIRI-CIRI KESELAMATAN
Beg udara bahagian depan dan sisi, ESP, EBD dan penunjuk tekanan tayar.

HARGA 
Bermula RM132,888.

2 ulasan:

  1. walaupun 1.4L tapi power output sampai 177hp, mesti sangat terujalah bila pandu kereta ni.

    BalasPadam
  2. entah bila lah dapat pakai kete ni.feuwww

    BalasPadam

Cerita Sensasi Terkini ---> Terhangat dan sensasi!!!