Mitsubishi Motors Malaysia memperkenalkan kereta elektrik menerusi model Mitsubishi i-MiEV
Mitsubishi i-MiEV mencatat sejarah automotif selepas MMM mendaftar kereta elektrik sepenuhnya yang pertama di Malaysia.
Ruang kabinnya boleh memuatkan empat penumpang sekali gus, sesuai digunakan golongan urban bagi pemanduan harian di bandar yang sesak dengan kenderaan.
Bentuk luaran tampak comel turut memberi impak untuk membezakannya dengan kenderaan biasa di jalan raya.
Jentera ini sangat praktikal bagi pemanduan dalam bandar kerana tidak memerlukan ruang yang luas untuk tempat letak kereta dan mudah dipandu di laluan sempit.
Walaupun saiznya sedikit kecil, ruang but belakang masih boleh menempatkan barangan dengan kapasiti 235 liter.
Selain itu, bahagian dalamannya kelihatan ringkas dan kemas dengan rekaan futuristik, selain memberi imej baru buat kenderaan elektrik ini.
Bahagian dalam Mitsubishi i-MiEV |
Panel meternya yang memberi pelbagai maklumat berhubung jentera ini merangkumi tahap bacaan bateri, penunjuk pengecas dan jarak pemanduan.
Tombol gearnya kelihatan seperti kenderaan automatik biasa, tetapi mempunyai simbol yang berbeza dengan tiga mod pemanduan iaitu D, B dan C.
Ketiga-tiga simbol itu menunjukkan fungsi janaan tenaga elektrik yang dicas semula ketika pemandu melepaskan pedal minyaknya atau memberhentikan kenderaan.
Mod D sesuai untuk pemanduan di kawasan bandar manakala mod B bagi perjalanan menuruni bukit dan mod C pula pemanduan yang lebih selesa atau santai.
Bagaimanapun, jentera ini masih boleh meluncur laju dan lancar sebaik saja menekan pedal minyaknya, sekali gus membuatkan penulis teruja dengan kuasa pecutannya.
Kenderaan pacuan belakang ini dilengkapi motor elektrik yang mampu menghamburkan kuasa output 49 kilowatt (kw), manakala tork mencapai sehingga 180 Nm.
Jentera yang diperkenalkan untuk pasaran dunia, tiga tahun lalu itu mampu dipandu sejauh 150 kilometer (km) bagi setiap cas penuh dan dikatakan boleh memecut sehingga 130 kilometer sejam (km/j).
Bateri litium ion dengan 330 volt disimpan di bawah lantai kenderaan yang boleh dicas semula dengan dua cara iaitu biasa atau cepat manakala motornya pula berada di bawah ruang simpanan barangan belakang.
Bagi pengecas biasa, ia hanya menggunakan tenaga elektrik rumah dengan tempoh lapan jam manakala 30 minit bagi pengecas cepat dengan kapasiti bateri sehingga 80 peratus.
Jentera ini masih memenuhi piawaian sistem keselamatan apabila diiktiraf sebagai empat bintang Program Penilaian Kereta Baru Eropah (Euro NCAP) kerana dilengkapi enam beg udara.
Setakat ini, lebih 20,000 unit kenderaan ini dihasilkan dan dieksport ke lebih 45 negara. Bagaimanapun, MMM masih belum menetapkan harga untuk pasaran di negara ini.
SPESIFIKASI
Mitsubishi i-MiEV
KUASA MAKSIMUM
49kw antara 2,500 hingga 8,000 rpm
TORK MAKSIMUM
180Nm antara 0 hingga 1,800rpm
BATERI
Litium Ion
KELAJUAN MAKSIMUM
130 km/j
KELAJUAN SEHINGGA 100 KM/J
15.9 saat
JARAK BATERI PENUH
150km
CIRI KESELAMATAN
ABS dengan EBD, ASC, TCL dan enam beg udara
TAYAR YANG DICADANGKAN
Corak: ContiEcoContact EP
Saiz yang dicadangkan:
145/65R15 72T FR
LIKE
BalasPadam