LAMBANGNYA yang terpampang pada bonetnya cukup menggambarkan ikon kemewahan jenama pengeluar automotif Jerman, Mercedes-Benz.
Bintang berbucu tiga itu memberi impak klasik kepada pemiliknya sekali gus menggambarkan cita rasa tinggi selain imej golongan korporat atau ahli perniagaan.
Bagi peminat model sedan mewah, model S-Class sentiasa mendapat perhatian berikutan gaya, saiz, kuasa dan kemewahan yang dimiliki.
Nama S-Class berasal daripada perkataan Jerman ‘Sonderklasse’ bermaksud kelas khas dan mula diperkenalkan pada 1972 menerusi model W116.
Mercedes-Benz melancarkan model terbaru iaitu Mercedes-Benz S350 L BlueEfficiency .
S350 L BlueEfficiency . |
Cinta pandang pertama. Itulah kehebatan model ini ibarat ‘sebutir berlian’ yang menjadi kegilaan golongan korporat.
Wajahnya tampak bergaya dengan reka bentuk elegan dan segar termasuk dilengkapi lampu pemanduan siang (daytime driving lights) LED membolehkan ia kelihatan lebih jelas di jalan raya selain memberi identiti bagi kelas ini.
Jika dulu lampu hadapan berbentuk bulat berkembar menjadi identiti, kini ia tampil dengan reka bentuk bujur dan segi tiga yang aerodinamik.
Bahagian belakang juga diberi nafas baru dengan perumah lampu belakang lebih banyak dihiasi penggunaan LED manakala lampu isyarat membelok berada
di tengah perumah.
Walaupun badannya yang besar, rekaan aerodinamik membuatkan jentera ini menarik dan tampak garang selain berfungsi untuk mengurangkan daya rintangan angin.
Padanan rim dimensi 19 inci dengan kombinasi saiz tayar berbeza memberi imej yang mantap dan tampak tegap.
Selain itu, model S-Class ini lebih panjang 13 sentimeter (sm) untuk memberi keselesaan ruang kaki kepada penumpang belakang.
Ketika menjengah dalam kabinnya, kombinasi warna gelap dan kerusi dihiasi panel kulit menjadikannya sebuah jentera mewah yang sporty.
Malah, kombinasi material seperti kulit kayu pada papan pemuka dan sterengnya memberi impak yang menarik ketika berada di dalamnya.
Apa yang menarik, posisi kerusi penumpang belakang boleh diubah sekali gus memberi keselesaan untuk melelapkan mata sementara tiba ke destinasi.
Selain itu, model ini dilengkapi Pencahayaan Ambien di mana lampu LED terbentang sepanjang pada papan pemuka dan panel pintu sekali gus memberi
satu persekitaran yang unik di mana boleh ditukar tiga warna berbeza.
Ia juga berfungsi untuk memberi daya penglihatan lebih luas dan selesa dalam kabin serta tidak akan menjejaskan penglihatan pemandu.
Susun atur pada papan pemukanya sangat kemas dan tersusun dan boleh dikawal yang berada pada stereng.
Bagi model baru ini, penumpang belakang tidak lagi kebosanan ketika menempuh perjalanan jauh apabila dua skrin LCD terletak di belakang kerusi hadapan mampu memainkan filem kegemaran masing-masing.
Menyentuh mengenai aspek kuasa, model ini dijana enjin V6 kapasiti 3.5 liter mampu menghamburkan 306 kuasa kuda (hp) dan tahap penggunaan bahan api yang mengagumkan iaitu 7.6 liter bagi 100 kilometer.
Enjinnya mampu menjimatkan tahap penggunaan bahan api hampir 24 peratus dan boleh mencapai kelajuan maksimum hingga 250 kilometer sejam (km/j).
Malah, penulis berasa teruja mengendalikannya sepanjang memecut di lebuh raya selain sistem suspensi dan penyerap hentak yang memberi keselesaan untuk menjadikan pemanduan lebih jitu serta yakin.
SPESIFIKASI:
MERCEDES-BENZ S350 L BLUEEFFICIENCY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan