CERITA TERHANGAT!!! ---> TERBAIK!!!

Terhangat ..

Selasa, 2 Ogos 2011

Proton sedia hasilkan kereta global

Proton sedia hasilkan kereta global



PENGELUAR kereta nasional, Proton Holdings Berhad (Proton) menzahirkan komitmennya untuk menghasilkan kereta bagi pasaran global. Komitmen itu selari dengan pengumuman kesediaan persiapan kilangnya untuk mengeluarkan model kereta globalnya.

Model terbaharu Proton dengan kod nama P3-21A dijangka mula dipasarkan pada awal tahun hadapan dan dikeluarkan di kilang Proton di Tanjung Malim, Perak.
P3-21A membuktikan bahawa sudah tiba masanya buat Proton menghasilkan sebuah kereta global. Ia bukan sekadar untuk pasaran Malaysia, negara serantau dan pasaran-pasaran tertentu sahaja. Malah kereta tersebut dikatakan memenuhi piawaian negara-negara maju, selain menarik minat, menepati citarasa dan kehendak pembeli di serata dunia.
Pengumuman itu dibuat oleh Pengarah Urusan Kumpulan Proton, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir dalam majlis Pengumuman Persediaan Pengeluaran Kereta Global P3-21A. Majlis sama turut menyaksikan bacaan ikrar jaminan kualiti oleh kakitangan Proton, 108 pembekal dan pembuat komponen Proton yang terlibat dengan projek pengeluaran model tersebut.
"Hari ini merupakan satu titik permulaan yang baru bagi Proton, seiring dengan aspirasi syarikat untuk meluaskan pengaruhnya dalam industri automotif di peringkat antarabangsa," kata Syed Zainal.
Jelas Syed Zainal lagi, pengiktirafan sebagai sebuah syarikat automotif global tidak seharusnya hanya bergantung kepada kejayaan sesebuah syarikat itu dalam mengeksport kenderaannya ke luar negara.
Apa yang lebih penting adalah penekanan terhadap elemen-elemen seperti kualiti, keupayaan untuk memenuhi permintaan pelanggan, harga kompetitif, selain penghantaran dan pengedaran kenderaan yang lebih baik.
Justeru, Proton juga telah menandatangani satu memorandum persefahaman (MOU) bersama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) bagi meningkatkan kebolehan pembekal dan pembuat komponennya. Caranya, dengan mempraktikkan kaedah-kaedah kecemerlangan perniagaan atau Business Excellence Practices (BEx).
BEx merupakan satu rangka kerja yang kini digunakan oleh anggota-anggota Majlis Model Kecemerlangan Global (Global Excellence Model Council, GEM) di 80 buah negara bagi menilai prestasi sesebuah syarikat di dalam tujuh bidang.
Antaranya ialah kepimpinan, perancangan, informasi, fokus pelanggan, orang-ramai, proses dan hasil. Ia dilaksanakan menerusi penumpuan terhadap inisiatif-inisiatif produktiviti dan peningkatan inovasi. Ini merupakan salah satu inisiatif strategik Proton untuk membangunkan vendor-vendor yang kompetitif di peringkat global menjelang tahun 2016.
Pengeluaran model terbaru P3-21A juga menyaksikan buat pertama kalinya, pemilihan pembekal dan pembuat komponen PROTON dibuat berdasarkan prestasi yang dinilai mengikut model BEx.
Selaku anggota Majlis GEM, MPC yang juga merupakan anggota Asian Productivity Organisation (APO) Center of Excellence for Business Excellence, bertindak sebagai sumber yang penting bagi Proton memperoleh maklumat industri yang terbaru untuk dibuat perbandingan dan penilaian.
Maklumat yang diperoleh juga akan membolehkan syarikat-syarikat pembekal komponen tempatan mengukur prestasi mereka, berbanding rakan-rakan di negara ASEAN dan di seluruh dunia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Cerita Sensasi Terkini ---> Terhangat dan sensasi!!!