Kereta Hibrid Sport dari Honda CR-Z
Kenderaan hibrid sport, Honda CR-Z pastinya memberi sesuatu pengalaman yang sukar dilupakan ini kerana bentuknya yang menggoda seakan-akan menerima sentuhan Honda CR-X.
Rekaan muka hadapan dengan muncung tirus untuk memberi aliran angin yang aerodinamik dan diakhiri dengan bonet belakang sedikit tinggi menghangatkan lagi imejnya.
Wajah keseluruhannya pula memberi satu daya tarikan kepada mereka yang mementingkan gaya kerana wajahnya tampak sporty dan garang.
Rekaan futuristik dengan dipadankan lampu berbucu tajam dan ruang udara pada bahagian hadapannya memberi laluan angin untuk menyejukkan enjin secara optimum.
Jika dilihat pada sisinya, garisan meliputi pada bahagian tepinya memberi satu gambaran yang unik selain berfungsi untuk mengurangkan rintangan angin.
Tidak hairanlah, kehadiran jentera ini boleh dianggap sebagai pisang goreng panas di Malaysia kerana jualannya cukup memberangsangkan.
Ketika menerjah pada bahagian kabinnya, ruang tempat duduk penumpang hadapan memberi kelegaan serta cukup selesa. Tempat duduk pemandu bagaikan kerusi ala ‘bucket’ juga memberi posisi yang mantap selain beberapa butang pada ruang kokpitnya membuatkan penulis seolah-olah berada dalam jentera masa hadapan.
Ruang bonetnya juga cukup luas untuk memuatkan barang yang besar dan boleh mencapai kapasiti sehingga 410 liter.
Bagaimanapun, ruang tempat duduk belakang sedikit sempit dan hanya sesuai untuk kanak-kanak. Sementara itu, jentera ini sememangnya memberi pemanduan berbeza apabila ia dipadankan Sistem Pemanduan 3 Mode yang membolehkan pemandu memilih dan menukarnya berdasarkan gaya pemanduan serta situasi jalan raya.
Tiga mode iaitu Normal, Sport dan Econ yang terletak pada tepi belakang stereng dengan memberi prestasi berbeza ketika pemanduan.
Ketika memandu di lebuh raya dengan mode econ dan ternyata ia memberi pemanduan santai dengan putaran perminit enjinnya lebih rendah.
Selain itu, panel meter akan bertukar warna hijau dan ia menunjukkan tahap penggunaan minyak yang minimum.
Bagi mode normal, ia memberi pemanduan untuk prestasi dan tahap penggunaan minyak optimum yang seimbang, sekali gus sesuai untuk memecut secara tidak agresif.
Bagi ketiga-tiga model itu, mode sport amat mengagumkan dengan putaran perminit enjinnya bertukar menjadi lebih tinggi. Ini sekali gus memudahkan pemandu memecut untuk mencapai kelajuan antara 60 hingga 140 km/j dengan singkat tanpa memberi beban kepada enjinnya.
Model berkenaan juga memberi kelebihan untuk memotong kenderaan lain tanpa ragu-ragu, tetapi panel meternya bertukar hijau kepada merah dan ia menunjukkan tahap penggunaan minyak yang tidak menjimatkan.
Jentera hibrid sport ini dikuasai gabungan enjin 1.5 liter dan motor elektrik 10kW yang menghasilkan 122 kuasa kuda serta 174 Nm tork.
Pengendaliannya juga cukup meyakinkan kerana model ini tampak rendah dan pendek, sekali gus memberi ketepatan memasuki selekoh mudah.
SPESIFIKASI HONDA CR-Z:
ENJIN: Enjin 1.5 liter dan motor elektrik
KUASA MAKSIMUM: 124 PS pada 6,000 rpm
TORK MAKSIMUM: 174 Nm antara 1,000 hingga 1,500rpm
TRANSMISI: CVT dengan tujuh kelajuan
CIRI-CIRI KESELAMATAN: ABS, BA, VSA dan EBD.
HARGA: RM 119,000
Tiada ulasan:
Catat Ulasan