SELEPAS hampir 50 tahun model 365 GTS4 (Daytona) menghilang dalam rangkaian barisan model Ferrari, akhirnya ia muncul kembali ke pasaran dunia menerusi model 812 GTS Serba Baharu dengan enjin hadapan V12.
Malaysia negara Asia Tenggara pertama memperkenalkannya.
Ia diperkenalkan oleh Naza Italia selaku pengedar eksklusif jenama prestasi mewah itu baru-baru ini.
Sebagai model 812 Superfast untuk versi bumbung boleh dibuka (retractable hard top (RHT)) dalam tempoh 14 saat pada kelajuan sekitar 45 kilometer/sejam (km/j), ia tetap mengekalkan ruang kokpit dan dalaman yang sama.
Ia dibekalkan dengan enjin naturally-aspirated Formula 1 (F1) 6.5 liter yang menjana kuasa kuda 800hp pada 8,500rpm dan tork 718Nm pada 7,000rpm.
Ia juga mampu mencatatkan sekitar tiga saat untuk mencapai daripada sifar sehingga 100 km/j.
Jentera ini yang dihasilkan di Pusat Penggayaan Ferarri berdasarkan model 812 Superfast yang direka semula menjadikan ia gabungan antara elegan dan sporty malah terus mengekalkan DNA fastback.
Reka bentuk sayap di bahagian belakang yang ditutup secara visual menjadikan bahagian ekor lebih pendek.
Ia lebih unik apabila digabungkan dengan garisan tajam dan 'wheelarches' gaya maskulin.
Untuk pemanduan dinamik selain stereng sport kuasa elektrik (EPS) untuk prestasi tertinggi, ia dilengkapi Prestasi Puncak Ferarri (FPP) dan Ferrari Power Oversteer (FPP) ketika selekoh.
Untuk pasaran Malaysia, Ferrari 812 GTS dijual pada harga bermula RM1.538 juta dengan program penyelenggaraan tujuh tahun serta 20,000km secara berjadual tanpa had perbatuan.
Sebuah lagi model RHT yang diperkenalkan ialah F8 Spider sebagai kereta sport dilengkapi enjin 3.9 liter belakang, tengah V8 turbo berkembar paling berjaya dalam sejarah yang menerima penarafan sebagai enjin terbaik tahunan selama empat tahun berturut-turut.
Ia menjana kuasa kuda 720 hp pada 8,000 rpm dan 770Nm pada 3,250 dengan catatan kelajuan sehingga 340km/j dan daripada sifar ke 100km/j dalam tempoh 2.9 saat melalui transmisi kotak gear tujuh kelajuan klac berkembar F1.
Rekaan luaran digayakan daripada model F8 Tributo dengan ciri aerodinamik dan bahagian hadapan S-Duct untuk lebih kompak dengan lampu LED hadapan melintang.
Untuk ciri kenderaan dinamik, ia dilengkapi sistem Ferrari Dynamic Enhancer (FDE+) untuk mengawal tekanan brek dan angkup ketika melewati selekoh.
Model F8 Spider dijual pada harga bermula RM1.178 juta dan kedua-dua model terbaharu ini boleh dilihat di ruang pameran Ferrari Kuala Lumpur sehingga 31 Mei ini.